21 September 2007

Menjejaki Tapak Pengkisahan Sejarah Long Jaafar : Pelopor Industri Bijih Timah


Kumpulan Keringat Merdeka sekarang berada di hadapan Perpustakaan Desa Bukit Gantang yang merupakan salah satu daripada Jabatan Kerajaan yang beroperasi di Mukim Bukit Gantang. Perpustakaan Desa Bukit Gantang memainkan peranan menyalurkan maklumat melalui bahan bacaan serta teknologi, komunikasi dan maklumat seperti internet. Penduduk di Mukim Bukit Gantang kerap kali berkunjung untuk menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan oleh perpustakaan desa tersebut.



Selain daripada Perpustakaan Desa Bukit Gantang, di Mukim ini juga terletaknya Pejabat Penghulu Bukit Gantang yang menjadi tempat rujuk penduduk kampung dari aspek politik, sosial dan ekonomi. Bersebelahan dengan Pejabat Penghulu terdapat Gelanggang Futsal Bukit Gantang yang akan menjadi salah satu tempat perlaksanaan aktiviti kumpulan ini.
Kami juga telah singgah ke Pejabat Penyelaras Bukit Gantang Homestay dan dari sini kami telah berkunjung sebuah rumah yang menjadi tempat sebagai Homestay kepada pengunjung Homestay Bukit Gantang. Tuan rumah homestay tersebut adalah En. Abdul Rahman dan Pn. Maimunah yang lebih dikenali di kawasan ini dengan nama Paksu dan Maksu. Turut hadir pada masa itu ialah Kapt(B) Jamil bin Ralib juga merupakan bekas pesara tentera yang mempunyai banyak maklumat mengenai sejarah Long Jaafar. Perbualan dimulakan oleh pengurus projek mengenai hasrat dan tujuan kumpulan kami ke sana.

Setelah mendengar dan memberikan maklumbalas positif daripada hasil perbincangan tersebut, Kapt (B) Jamil mencadangkan kumpulan kami dapat mengunjung Kompleks Sejarah Matang bagi mendapat maklumat yang lebih lanjut mengenai pengkisahan sejarah Long Jaafar dan Ngah Ibrahim. Di sana kami diperkenalkan dengan En. Ahmad Sazali bin Saba selaku Pembantu Muzium Kompleks Sejarah Matang. Hasil perbincangan dengan En. Ahamd Sazali, beliau banyak memberikan maklumat dan pandangan mengenai Majlis Pengkisahan Sejarah Long Jaafar. Di samping itu, kami juga telah dibawa melawat sekitar dalam bangunan muzium Kompleks Sejarah Matang hasil peninggalan sejarah Ngah Ibrahim iaitu anak kepada Long Jaafar yang telah mewarisi industri bijih timah pada ketika itu.